R-iF : Lagu Nasyid Pengaruh Dangdut

R-iF Muncul Dalam Utusan Malaysia

Oleh ABD. AZIZ ITAR

NASYID dan dangdut merupakan dua genre muzik yang bukan sahaja berbeza, malah ramai juga peminat yang tentunya tertanya-tanya bagaimanakah rentaknya apabila ia digabungkan dalam sebuah lagu.

Pendekatan berbaur eksperimen itu dilakukan oleh kumpulan nasyid baru yang menggelarkan diri sebagai R-iF menerusi lagu nyanyian mereka berjudul Insan Terulung yang menggabung dua genre muzik dalam lagu tersebut.

Menurut salah seorang anggotanya, Ridzuan Jaafar, lagu yang dipetik daripada album sulung mereka berjudul Percayalah itu kedengaran agak rancak kerana adanya suntikan elemen muzik dangdut di dalamnya.
“Lagu itu agak rancak dan bukan seperti lagu nasyid biasa. Rancak daripada segi rentak di mana ia juga menggunakan instrumen seperti gitar dan gendang. Kalau sekali dengar mungkin ada yang akan kata lagu itu berkonsepkan dangdut.

“Sedangkan pada melodinya kami selitkan juga kelembutan dalam kebiasaan lagu-lagu nasyid. Malah, lirik lagu Insan Terulung itu sebenarnya tentang diri Rasulullah,” katanya kepada Hits sewaktu ditemui baru-baru ini.

Meskipun menyelitkan unsur-unsur irama dangdut dalam lagu Insan Terulung, tetapi jelas Ridzuan ia tidak keterlaluan sehingga boleh menenggelamkan mesej-mesej murni yang cuba diketengahkan menerusi lagu tersebut.

Malah, beliau yakin kombinasi dua genre muzik itu bukan setakat suatu pembaharuan yang cuba diketengahkan oleh R-iF di mana pada masa sama ia diharap mampu menarik perhatian para pendengar generasi muda.

“Apa yang penting ialah mesej di sebalik lagu itu. Tidak salah kami gabungkan dua genre muzik tersebut. Gaya penyampaian kami juga tidak melampaui batas. Cuma bezanya di sini muziknya rancak sedikit,” ujarnya.
Selain Ridzuan, R-iF yang turut dianggotai oleh Mohd. Adham Yusof dan Khairul Azwar Ibrahim itu turut menampilkan 10 lagi lagu dalam album sulung terbitan mereka itu yang kebanyakannya berkonsepkan irama nasyid.

Irama seperti pop, balada, R & B dan pop Arab juga merupakan antara konsep muzik yang turut diselitkan dalam lagu-lagu dalam album Percayalah yang kebanyakan lagu serta liriknya ciptaan mereka sendiri.
Meskipun cuba menampilkan kelainan menerusi lagu seperti Insan Terulung, namun album yang dijual dengan harga RM25 seunit itu mendapat sambutan menggalakkan daripada para peminat irama nasyid tempatan.

“Setakat ini sudah 2,000 keping CD (cakera padat) album pertama kami dijual. Ia termasuklah jualan sewaktu kami mengadakan persembahan di merata-rata tempat dan juga melalui dalam talian di Internet sejak lebih sebulan lalu,” katanya.

Bagi merancakkan lagi jualan album dengan kos rakaman berjumlah RM30,000 itu, R-iF yang bermaksud Remember Islam Forever (ingat Islam selalu), Ridzuan dan kumpulannya sedang merangka strategi promosi album tersebut.

Antaranya, kata Jurutera Sistem di Menara Kawalan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ini, promosi itu akan ditumpukan di politeknik-politeknik seluruh negara termasuklah di Sabah dan Sarawak.

“Kami memilih untuk mempromosikan album ini terlebih dahulu di politeknik-politeknik kerana kebetulan kami bertiga merupakan bekas pelajar Politeknik Sultan Salahuddin Alam Shah, Selangor atau lebih dikenali sebagai PSA.

“Difahamkan terdapat hampir 20 politeknik di Semenanjung Malaysia sahaja. Selepas habis mengadakan promosi bergerak di seluruh politeknik kami akan meneruskannya ke universiti dan kolej pula,” jelasnya.
Di samping Insan Terulung, lagu-lagu lain yang dimuatkan dalam album sulung R-iF itu antaranya berjudul Sepi Cinta, Percayalah, Oh Mama, Praise Allah, Bicara Cinta, Persona Dunia, Satu Ummah, Indahnya Dunia dan Inspirasi Cinta.

Original Link:

Lagu Nasyid Pengaruh Dangdut

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: