Nasyid Cafe: Lagu-Lagu Nasyid Yang Memualkan.

1- Hari ini industri nasyid agak kebanjiran dengan lagu-lagu nasyid cinta yang mempromosikan hubungan lelaki dan wanita (cara islam?). Kumpulan-kumpulan nasyid baru hari ini berlumba-lumba untuk mencipta dan menerbitkan lagu-lagu cinta seperti ini. Samada ini sesuatu yang baik atau tidak, anda nilaikanlah sendiri. Sekiranya perkembangan sebegini anda kira sebagai sesuatu yang baik buat industri hiburan islami, maka terpulanglah kepada anda.
2- Dari mana ia datang dan bagaimana ia bermula? Saya kira seperti yang diketahui umum, kumpulan-kumpulan nasyid era nada murni atau the zikr ataupun era awal Raihan, Rabbani dan Hijjaz, kita tidak disogokkan dengan lagu-lagu pop berunsurkan cinta. Kesemua kumpulan-kumpulan awal ini lebih senang dengan mesej berbentuk ketuhanan dan perkara-perkara asas didalam islam.
3- Nasyid bertemakan cinta wanita bermula dan mencetuskan fenomena dengan lagu Kasih Kekasih nyanyian kumpulan Inteam. Lagu Kasih Kekasih, ciptaan Isman Hijjaz dan liriknya oleh Ito Lara dan Isman Hijjaz. yang juga merupakan single daripada album pertama mereka mencetus gelombang baru dalam dunia nasyid. Dengan bait-bait rayuan rindu rawan seperti:

Kau Tahu Ku Merinduimu
Ku Tahu Kau Menyintaiku…Oh…Kasih
Bersabarlah Sayang
Saat Indah Kan Menjelma Jua
Kita Akan Disatukan
Dengan Ikatan Pernikahan…Oh..Kasih

4- Ia sememangnya mengundang kemusykilan dan kontroversi. Walau bagaimana pun kita tidak boleh menafikan impak daripada populariti lagu ini dan kumpulan Inteam itu sendiri yang pada masa itu terdiri daripada 4 pemuda yang kacak dan segak, penuntut-penuntut daripada sebuah universiti islam yang terkemuka, menyebabkan ramai peminat muzik mula berjinak-jinak dengan nasyid versi baru ini. Ianya seperti sebuah lagu Siti Nurhaliza atau Misha Omar tetapi dengan lirik yang lebih islamik. Pasti halal.

Cintaku bukan diatas kertas
Cintaku getaran yang sama
Tak perlu dipaksa
Tak perlu dicari
Kerna kuyakin ada jawabnya oh…

Insya Allah.

5- Selepas Inteam menempa nama dan menerbitkan beberapa buah album yang dipenuhi Kasih, muncul pula anak didik kedua kumpulan Hijjaz iaitu UNIC yang popular dengan lagu Hanya Tuhan Yang Tahu dengan lirik rayu rindu rawan islamik seperti:

Di hati ini
Hanya Tuhan yang tahu
Di hati ini
Aku rindu padamu
Tulus sanubari
Menantikan hadirmu
Hanyalah kau gadis pilihanku.

6- Fenomena tercetus lagi. Lagu lagu nasyid cinta yang islamik mula menerobos ke corong-corong radio dan menangkap ke telinga pendengar-pendengar, pemuda-pemudi pembela kumpulan nasyid seperti yang ada sekarang. Walaupun bermula meniti populariti dengan lagu-lagu sebegitu, syabas saya ucapkan kepada kedua dua kumpulan yang sudah tidak lagi memfokuskan kepada lagu-lagu bertemakan cinta wanita sebegitu.
7- Tetapi ianya sudah terlambat, formula lagu cinta wanita dan kekasih hati yang dirindui sudah mekar didalam industri. Hampir kesemua kumpulan-kumpulan yang lebih baru tampil dengan lagu-lagu bertemakan cinta rindu dendam yang tulus lagi mulus kepada kekasih hati tetapi dengan sedikit twist; ianya berlandaskan syariat dan hukum Allah. Ianya menjadi satu trend dan kegilaan yang tidak lagi mampu dibendung. Ianya menular. Kini popular adalah nasyid-nasyid yang berlirik seperti ini:

Ooo kekasih hati,
Betapa rindu mencengkam,
Ku tahu kau tidak sabar ooo sayang
Kerana aku pun tidak sabar
Untuk menikah dengan mu,
dihadapan Imam dan Qadhi,
Berlandaskan syariat dan Addin.
Oooo sayangku

8- Ya, selalunya didalam sebuah album hanya satu dua sahaja lagu cinta islami ini dan kebanyakan lagu-lagu lain yang terkandung didalam album-album mereka masih bersih dan suci daripada tema nafsu serakah cinta yang berlandaskan agama ini, tetapi populariti lagu-lagu cinta ini selalunya jauh meninggalkan lagu-lagu berbentuk ketuhanan. Cinta manusia nampaknya lebih popular.
9- Suka saya memetik pendapat daripada Ustaz Zaharuddin Abd Rahman didalam laman webnya apabila ditanya oleh saudara Azalinor (Ye, Azalinor dari kumpulan Saujana) tentang isu ini:
“Hujjah mendendangkan lagu sebegitu bagi menyediakan alternatif cinta hitam dan maksiat dendangan penanyi biasa juga tidak dapat terima, kerana ia tetap boleh membawa kesan buruk yang serupa bagi pendengar. Hujjah bahawa lirik lagu cinta Islamik itu mengajak kepada cinta yang tulus dan bersih juga sukar bagi saya. Menurut penilaian saya, segala nasihat-nasihat yang disebut di dalam nasyid cinta akan menenggelamkan pendengar yang sedang berkasih dek keasyikan dendangannya, malah ia lebih mendorong kepada keasyikan yang lebih membuta dan memekakkan mereka dari segala nasihat. Tatkala itu, tiada perlu nasyid disediakan bagi golongan ini kerana ia tetap negatif secara umumnya dan mudarat melebihi manfaat. Kaedah fiqhi menyebut ” menolak mudarat melebihi target mencapai manfaat”
9- Anda mempunyai pendapat yang berbeza? Sila kongsi pendapat anda di ruangan komentar.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: